 |
| Modules |  |
| Who's Online |  |
There are currently, 15 guest(s) and 0 member(s) that are online.
You are Anonymous user. You can register for free by clicking here | |
| Login |  |
|
Don't have an account yet? You can create one. As a registered user you have some advantages like theme manager, comments configuration and post comments with your name. | |
| Languages |  |
|
Select Interface Language:
| |
| Old Articles |  |
| Information |  |
| Local University |  |
| BOOK |  |
| Download |  |
| IKLAN |  |
| PERMAINAN |  |
| Watch |  |
| Google Maps |  |
| GOVERNMENT |  |
| Tutorial |  |
| Utusan Online |  |
| Malaysia Kini |  |
| Akhbar Malaysia |  |
|  |
Terapul Enterprise
G6PD
'GLUCOSE 6 Phosphate Dehydrogenase deficiency' atau lebih dikenali sebagai G6PD adalah sejenis penyakit yang kerap berlaku. Dianggarkan 400 juta penduduk dunia mengalami masalah itu. G6PD sejenis penyakit yang dikaitkan dengan kromosom X, justeru masalah ini lazimnya berlaku kepada lelaki.
Dalam kes G6PD, enzim penting untuk melindungi sel darah merah pecah disebabkan proses oksidasi (proses menghasilkan oksigen dengan menggabungkan oksigen atau menyingkirkan hidrogen).
Justeru, kekurangan enzim berkenaan menyebabkan sel darah merah mudah pecah. Tahap keseriusan penyakit G6PD ini bergantung kepada tahap kekurangan enzim itu.
Bagaimana masalah ini dikesan?
Penyakit ini dapat dikesan melalui ujian darah sebaik saja seorang bayi itu dilahirkan. Ujian darah itu akan mengesan keberkesanan enzim berkenaan. Melakukan ujian darah sebaik saja dilahirkan sudah diamalkan di Malaysia sejak sekian lama. Ini kerana masalah G6PD kerap berlaku di Malaysia dan boleh menyebabkan masalah di kalangan bayi baru lahir.
Antara masalah yang mungkin timbul di kalangan bayi baru lahir adalah jaundis. Disebabkan kekurangan enzim itu, sel darah merah bayi mudah pecah. Ini menghasilkan kandungan bilirubin yang tinggi.
Kandungan bilirubin yang terlalu tinggi boleh menyebabkan keadaan toksik kepada otak. Jika tidak diubati boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi.
Oleh kerana kemungkinan masalah besar yang mungkin timbul kepada bayi yang mengalami G6PD, kebanyakan institusi perubatan akan menahan bayi berkenaan di wad sekurang-kurangnya lima hari sebelum dibenarkan pulang.
Selain itu, bayi G6PD ini juga boleh berhadapan keadaan dinamakan “acute hemolysis”, iaitu keadaan wujudnya sel darah merah pecah pada kuantiti terlalu banyak. Ini menyebabkan bayi itu berasa penat dan kelihatan pucat dengan tiba tiba. Simptom lain yang mungkin dialami adalah sakit perut, jaundis, kencing bertukar berwarna gelap dan sakit pinggang.
Keadaan ini berlaku disebabkan jangkitan, memakan kacang parang jenis “fava beans” ataupun memakan ubatan yang boleh meninggikan proses oksidasi. Bukan semua jenis jangkitan akan menyebabkan masalah itu. Sebaliknya jangkitan yang selalu dikaitkan dengan acute hemolysis adalah jangkitan oleh bakteria.
Banyak ubat-ubatan yang tidak dapat diambil oleh mereka yang mengalami masalah G6PD. Senarai ubatan ini panjang dan apa yang perlu dilakukan adalah selalu memberitahu doktor yang merawat anak mengenai masalah anak anda yang mengalami G6PD. Ini dapat mengelakkan mereka menggunakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan komplikasi.
Di antara ubat-ubatan yang boleh membawa komplikasi
Ubat-ubatan penyakit malaria dan antibiotik yang mengandungi kandungan sulfur. Selain daripada ubat, kacang parang jenis “fava beans “ juga boleh menyebabkan oksidasi sel darah merah. Selain itu juga komplikasi G6PD juga dikaitkan dengan penggunaan ubat serangga.
Rawatan
Cara rawatan yang utama adalah mengelakkan daripada perkara yang boleh menyebabkan acute hemolysis seperti yang dinyatakan di atas. Kadangkala sel darah merah yang pecah secara keterlaluan menyebabkan bayi itu pucat. Ini mungkin memerlukan pemindahan darah. Perlu diingatkan juga, masalah G6PD ini disebabkan kekurangan penghasilan enzim dan ini adalah masalah yang akan kekal buat selamanya.
Berita Harian : 11 Mei 2008
HEPATITIS B
JANGAN culas jika sepanjang kehamilan, anda perlu melalui pemeriksaan setiap bulan. Jangan berkira mengenai masa yang perlu diperuntukkan jika terpaksa membuat pelbagai ujian tertentu sepanjang kehamilan itu.
Ujian seperti ini bukan saja mengesahkan keadaan kesihatan anda tetapi juga mempengaruhi janin. Misalnya bagi seorang wanita hamil yang dijangkiti virus hepatitis B, wujud risiko ia akan berjangkit pada fetus.
Sama ada bayi akan dijangkiti virus, bergantung pada bila jangkitan terjadi. Jika jangkitan berlaku pada awal kehamilan, risiko jangkitan kurang daripada 10 peratus untuk bayi mendapat virus. Jika pada akhir kehamilan, risiko itu meningkat hingga 90 peratus.
Pakar Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata hepatitis serius pada bayi hingga boleh mengancam nyawa. Malah, bayi mungkin berisiko alami masalah kesihatan yang lebih serius.
Beliau berkata, tanpa rawatan, bayi baru lahir juga berisiko tinggi untuk menjadi pembawa. Justeru, bayi boleh menyebarkannya kepada orang lain. Apabila mereka membesar, 25 peratus pembawa berisiko untuk meninggal dunia disebabkan barah hati.
"Hepatitis B selalunya tidak mendatangkan masalah ketika kehamilan. Bagaimanapun, virus boleh disebarkan kepada bayi ketika proses kelahiran, sama ada kelahiran itu normal atau pembedahan," katanya.
Bayi baru lahir yang tidak menerima vaksin hepatitis B mula menunjukkan simptom jangkitan yang akut dalam tempoh sebulan atau empat bulan selepas dijangkiti. Bagi kebanyakan kes, mereka mula menunjukkan jangkitan antara empat hingga enam bulan. Tidak seperti orang dewasa, bayi yang diserang hepatitis B selalunya kronik.
"Oleh itu wanita hamil perlu mengambil ujian hepatitis B. Doktor akan memberi bayi vaksin dalam tempoh sehari selepas dilahirkan," katanya.
Secara umum, hepatitis B yang kronik adalah masalah kesihatan global yang serius. Ia berada dalam kedudukan ke 10 penyebab utama kematian. Disebabkan virus hepatitis B (HBV) yang menyerang sel hati, hepatitis B kronik boleh menyebabkan parut pada hati (cirrhosis), barah hati, kegagalan hati dan kematian.
Justeru, ia menjejaskan kesihatan sekitar 350 juta orang dan bertanggungjawab pada 1.2 juta kematian setiap tahun. Antara 15 hingga 25 peratus mereka yang terjejas secara kronik akan mati disebabkan komplikasi jangkitan HBV seperti cirrhosis dan barah hati.
Prof Dr Rosmawati berkata, jika jangkitan berlaku lebih daripada enam bulan, ia dianggap sebagai jangkitan yang kronik dan selalunya akan kekal sepanjang hayat. Ada kalanya pesakit tidak mengalami sebarang simptom tetapi ada yang mengalami jaundis, sakit perut, hilang selera makan, muntah dan sakit sendi.
Dianggarkan hampir 78 peratus kes hepatitis B yang kronik terjadi di Asia dan dianggarkan 360,000 kematian disebabkan hepatitis B terjadi setiap tahun membabitkan populasi Asia Timur saja. Di Malaysia, kelaziman kadar hepatitis B di kalangan populasinya adalah 5.24 peratus iaitu sekitar 1.3 juta penduduk.
"Ramai orang tidak tahu bahawa HBV mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV. Di kawasan ia menjadi endemik, kebanyakan populasinya dijangkiti sejak bayi atau kanak-kanak," katanya.
Malah, jangkitan atau pindahan HBV paling kerap terjadi antara ibu dan anak ketika proses bersalin. Ini kerana ibu tidak menyedari dia adalah pembawa atau pesakit hepatitis B yang kronik.
Selain itu, HBV juga tersebar melalui pemindahan darah, berkongsi atau menggunakan semula jarum (seperti proses bertatu) atau seks tidak selamat. HBV tidak tersebar melalui minuman atau makanan, berkongsi tandas, menyusukan bayi, berpeluk atau berkucup atau bersin dan batuk.
Beliau berkata, kebanyakan mereka yang dijangkiti HBV tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, mereka mungkin mendapati ujian darah untuk fungsi hati adalah normal. Secara umum, HBV tidak menunjukkan simptom yang spesifik dan pesakit tidak menyedari risiko barah hati sehingga ia menyerang pada tahap sangat serius.
"Barah hati selalunya membawa kematian kerana ketika barah itu masih pada tahap awal, tiada simptom ditunjukkan. Ini menyebabkan diagnosis barah hati selalunya pada tahap yang lewat," katanya.
Berbanding wanita, lelaki lebih kerap diserang barah hati apatah lagi jika memiliki sejarah keluarga yang berhadapan dengan masalah yang sama. Lazimnya, barah hati akan terjadi pada usia antara 35 hingga 65 tahun.
Rawatan
Mendapatkan vaksin adalah langkah terbaik mencegah hepatitis B. Sebanyak 116 negara melaksanakan program imunisasi HBV manakala hanya 10 peratus saja kanak-kanak sihat yang menerima vaksin ini gagal membina antibodi mencegah HBV.
Anda perlu tahu vaksin tidak bermanfaat untuk mereka yang sudah dijangkiti HBV. Di Malaysia, suntikan melindungi daripada HBV sudah dimasukkan dalam program imunisasi kebangsaan sejak 2002. Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang lahir sebelum 2002, mendapatkan vaksin hepatitis B adalah antara agenda yang perlu diberi pertimbangan.
Suntikan ini penting kerana kanak-kanak yang dijangkiti HBV selalunya akan berhadapan dengan jangkitan yang kronik. Malah, tanpa vaksin, sebanyak 90 peratus bayi dijangkiti HBV pada tahun pertama kehidupannya. Sementara antara 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti pada usia antara satu hingga empat tahun juga akan dijangkiti HBV kronik.
Risiko kematian disebabkan barah hati dianggarkan 25 peratus pada mereka yang dijangkiti HBV kronik ketika kanak-kanak.
Ada pelbagai vaksin mencegah jangkitan HBV di pasaran, antara yang terbaru ialah Sebivo yang dibangunkan Novartis.
FAKTA : Bagaimana HBV merebak?
* HBV lebih mudah berjangkit antara 50 hingga 100 kali berbanding HIV
* Virusnya boleh ditemui dalam dalam darah, air liur, air mani dan cecair vagina.
* HBV tidak merebak melalui udara, makanan, air, susu ibu, berpelukan, bercium, batuk, bersin atau berkongsi gelas minuman atau makanan.
* Penyebaran HBV daripada emak kepada anak berlaku ketika bersalin sama ada proses bersalin itu melalui saluran peranakan atau pembedahan.
* Sebanyak 90 peratus bayi yang dijangkiti ketika lahir jika tidak menerima rawatan akan alami HBV lebih kronik.
* Kebanyakan warga Asia dan Afrika dijangkiti HBV ketika kanak-kanak atau ketika dilahirkan.
* Kebanyakan warga Eropah dan Amerika pula dijangkiti HBV ketika remaja menerusi aktiviti seksual dan penggunaan dadah.
* Lebih daripada 2/3 kes HBV tidak menunjukkan sebarang simptom.
* Kadangkala jika simptom muncul, ia selalu disalah tafsir sebagai influenza, demam, letih, sakit sendi, sakit otot, hilang selera makan, pening dan muntah.
Berita Harian
UJIAN PAP SMEAR
TAHAP kesedaran wanita di negara ini terhadap bahaya penyakit kanser pangkal rahim semakin meningkat. Bagaimanapun, kesedaran yang ada pada diri mereka masih tidak mencukupi jika ia tidak disusuli dengan usaha untuk mencegah penyakit tersebut.
Kanser pangkal rahim boleh menyerang wanita tidak mengira usia khususnya kepada kaum Hawa yang mengamalkan gaya hidup seks bebas.
Memiliki pasangan yang gemar bertukar teman seks turut mendedahkan kaum wanita kepada risiko penyakit berkenaan.
Pegawai Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Komathy Thiagarajan berkata, untuk memastikan seseorang wanita itu benar-benar bebas daripada penyakit kanser serviks atau barah pangkal rahim, mereka perlu menjalani ujian saringan pap smear secara berkala.
‘‘Ujian ini amat penting kepada wanita kerana hanya melalui pemeriksaan tersebut kita boleh memastikan sama ada wanita berkenaan benar-benar sihat dan tidak terdedah kepada kanser serviks,’’ katanya ketika ditemui sewaktu menyampaikan ceramah mengenai Pencegahan Kanser Serviks anjuran LPPKN di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, ujian saringan pap smear mesti dilakukan ke atas wanita seawal usia 18 tahun sekiranya mereka telah mula terdedah kepada hubungan seksual.
Jelas beliau, bagi wanita yang baru hendak menjalani ujian saringan pap smear, mereka perlu melakukan ulangan pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali.
‘‘Sekiranya wanita terbabit didapati sihat pada ujian tahun berikutnya, dia hanya perlu menjalani pemeriksaan tiga tahun sekali,’’ ujarnya.
Ketika ditanya apakah halangan sehingga menyebabkan bilangan wanita yang membuat ujian tersebut masih kurang, Dr. Komathy memberitahu, mungkin perasaan malu dan beranggapan ujian itu menyakitkan antara punca kaum wanita memilih untuk tidak melakukan ujian saringan pap smear.
Tambahnya, kalau setakat kesedaran yang wujud tinggi tetapi mereka tidak melakukan pemeriksaan juga tidak ada gunanya.
Mengulas mengenai wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks seumur hidup mereka, beliau berkata, wanita terbabit tidak perlu melalui ujian saringan tersebut.
‘‘Memang tidak saya nafikan ada segelintir doktor menyatakan semua wanita wajib melalui ujian saringan pap smear tetapi bagi saya ia tidak perlu,’’ tegas beliau.
Penyakit
Menurutnya, ujian pap smear amat penting dilakukan bagi mengesan kanser pada peringkat awal supaya ia dapat dicegah sebelum penyakit itu menjadi bertambah serius.
Katanya lagi, pesakit boleh sembuh sepenuhnya jika kanser pangkal rahim dapat dikesan pada peringkat awal kerana ia boleh diubati.
Oleh itu, beliau memberitahu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan pap smear dengan kerap bagi mengesan prakanser serviks atau kanser pada peringkat yang boleh dirawat dengan paling berkesan.
Dr. Komathy berkata, kanser pangkal rahim biasanya berpunca daripada virus Human Papiloma (HPV) dan ia terjadi apabila sel-sel abnormal di dalam lapisan serviks mula membiak secara tidak terkawal sebagai tindak balas terhadap jangkitan HPV.
Jelas beliau, kanser pangkal rahim merupakan pembunuh kedua wanita selepas barah payu dara di negara ini.
‘‘Pada tahun 2003, 16.5 peratus daripada 100,000 wanita di Semenanjung Malaysia didapati menghidap penyakit tersebut.
‘‘Berdasarkan statistik, seorang wanita daripada 123 orang mendapat kanser tersebut dan sembilan dalam 100,000 wanita meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim setiap tahun di seluruh dunia,’’ ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kaum wanita dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat iaitu melakukan hubungan monogami jangka panjang dengan pasangan yang tidak memiliki masalah penyakit kelamin.
Menurutnya lagi, mengehadkan bilangan pasangan seks turut mengurangkan risiko wanita terdedah daripada masalah kanser pangkal rahim.
‘‘Satu lagi kita perlu ingat bahawa HPV biasanya tidak menampakkan gejala atau tanda, jadi sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terkena jangkitan ataupun tidak,’’ tegas beliau.
Tambahnya, penggunaan kondom juga boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV, di samping sentiasa memastikan amalan hubungan seks yang sihat.
Utusan Malaysia
HERBA UNTUK DIABETES
‘Setahun yang lalu saya disahkan menghidap kencing manis. Saya sedang mengambil ubat seperti yang disarankan doktor serta mengawal pemakanan serta membuat pemeriksaan gula darah secara berkala. Bacaannya yang diperolehi biasanya tidak melebihi 8.0 mmol/L (tanpa makan). Selain ubat-ubatan, saya ingin mencuba suplemen herba yang dikatakan berkesan untuk mengawal peningkatan paras gula. Apakah yang boleh saya cuba?’’
Jawapan:
Diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan, namun dengan penjagaan dan rawatan yang baik ia boleh dikawal dengan lebih berkesan, seterusnya mengurangkan kesan jangka panjang diabetes. Apabila disahkan menghidap diabetes, pengambilan ubat seperti yang disarankan adalah sangat penting.
Antara herba popular yang telah digunakan sejak sekian lama untuk mengawal peningkatan paras gula termasuklah fenugreek (halba). Halba atau trigonella foenum-graecum telah digunakan secara tradisional sebagai emolien yang mengurangkan keradangan kulit. Pengambilan secara oral akan mengurangkan paras gula darah akibat kesan hipoglisemiknya. Kandungan pentingnya seperti trigolline, komarin dan serat membantu mengurangkan paras gula.
Bahan aktif dalam gymnema membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin. Ia juga meningkatkan aktiviti enzim untuk menyenangkan penggunaan glukosa dan meningkatkan penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati, buah pinggang dan otot.
Ekstrak gymnema memberi kesan positif kepada diabetes jenis kedua. Dalam kajian yang melibatkan dua puluh dua pesakit diabetes jenis kedua yang diberikan ekstrak gymnema berserta dengan ubat oral hipoglisemia mendapati kesemua pesakit memperoleh kawalan gula darah yang lebih baik, dengan 21 daripada 22 subjek boleh mengurangkan dos ubat mereka. Lima subjek pula boleh menghentikan pengambilan ubat dan mengawal gula darah dengan menggunakan ekstrak gymnema sahaja.
Dua herba bermanfaat ini digabungkan dengan holy basil (Ocimum sanctum) dan peria (Momordica charantia) untuk kesan sinergistik. Sekiranya anda disahkan menghidap diabetes dan memilih untuk mengambil gymnema, pastikan anda membuat ujian gula darah dengan lebih kerap untuk mengawasi paras gula anda.
Utusan Malaysia
|